Pasangan anda kurang romantik? Terlalu selamba? Jangan komplen kerana pasangan anda biasanya adalah seseorang yang amat bertentangan sifatnya dengan anda.
Tiap kali tibanya hari jadi, kena sambut seorang. Tiap kali tibanya ulangtahun dalam perhubungan, ingatkan dapatlah hadiah ataupun kejutan romantik, rupa-rupanya kena sambut sendiri lagi. Haii…. Samapi bilalah nak macam ni. Dah bertahun-tahun dah macam ni, dan berulang lagi tahun ini. Dan dah puas juga bergaduh tentang perkara sebegini. Kenapa? Susah sangatkah nak ingat tarikh? Kalaulah itulah alasannya, habis tu, telefon bimbit yang dok tersangkut kat pinggang sepanjang masa tu untuk apa? Sekadar perhiasan? “Reminder” kat dalam tu pun kita yang tolong letakkan. Dia cuma perlu lihat dan berbuat sesuatu saja jika “alarmnya” berbunyi. Bunyi pun kita dah “set” kepada nada yang maksimum. Tapi…. Keadaan masih sama. Bosan.
Pasti selalu terjadi kan situasi seperti di atas? Memang, sebagai wanita, kita cukup sensitif terhadap benda-benda seperti ini. Tidak dinafikan, wanita lebih peka terhadap tarikh-tarikh penting terutamanya tarikh-tarikh penting di dalam hubungan. Bagi kita, dengan mengingati tarikh-tarikh ini, kita mempunyai satu masa untuk menghargai pasangan kita lebih daripada hari-hari biasa. Pada masa inilah, kita bakal memberikan pasangan kita hadiah yang istimewa semata-mata untuk “memberitahunya” yang kita menghargainya. Ini berbeza dengan kaum lelaki. Mereka lebih bersifat biasa-biasa sahaja. Tidak menjadi isu besar jika mereka terlupa akan tarikh-tarikh penting di dalam kehidupan mereka. Kadangkala, harijadi sendiri pun boleh terlupa. Inikan pula harijadi orang lain. Alasannya, mereka terlalu sibuk dengan kerja dan tugas masing-masing. Maka, silaplah pendapat yang menyatakan bahawa kaum lelaki lebih berkeupayaan untuk “multitasking”. Haha.
Tidak dinafikan, jika difikir-fikir, andaikata kita terlupa akan tarikh-tarikh penting ini, tiada apa-apa bahaya yang akan menimpa diri kita dan bukannya bermakna berakhir sudah dunia ini. Kehidupan tetap diteruskan seperti biasa. Cuma, biasalah, antara salah satu sifat semulajadi wanita ialah ingin selalu dimanjakan, ingin dihargai.
Sudah tentu ramai wanita yang cemburu jika terdapat pasangan rakan-rakan mereka yang selalu bertindak romantik. Sentiasa memperingati tarikh-tarikh penting dan selalu “memandikan” pasangan mereka dengan hadiah-hadiah tanda ingatan. Namun, harus kita ingat bahawa, adakalanya lelaki yang seperti ini ada masanya, cukup merimaskan. Kadang-kadang, naik loya pula melihat aksi-aksi mesra pasangan seperti ini. Tunggu ya, saya bukan bercakap kerana saya iri hati. Cuma sekadar untuk menyatakan pendapat sahaja.
Tidak dinafikan, romantik memang perlu untuk menyemarakkan lagi hubungan, tetapi, sifat romantik yang berlebihan boleh membuatkan pasangan atau orang sekeliling anda rimas serta jika tidak keterlaluan untuk saya katakan di sini, lemas. Terlalu selamba pun tidak berapa elok kerana ia boleh membuatkan pasangan anda merasakan dirinya tidak dihargai dan ini adalah tidak sihat untuk hubungan yang sedia ada. Biarlah ada keseimbangan di sini.
Makanya, kurang romantik, lebih selamba? Pilihlah sendiri.
Oleh : Emilda Rozanie. (3r.com.my)
No comments:
Post a Comment