BAIT-BAIT lirik lagu My Heart Will Go On oleh penyanyi Celine Dion yang berkumandang saat berlayar di perairan Selat Melaka umpama satu dendangan hipnotisme. Seakan-akan tidak terasa diri meredah lambungan ombak. Apatah lagi jika sedang merangkul erat bahu orang tersayang.
Keasyikan lagu tema dari filem Titanic itu benar-benar membangkitkan mood pelayaran. Itu belum disuntik elemen tambahan seperti sapaan bayu lembut dan sang suria yang melabuhkan warna senja di horizon laut.
Peluang belayar sejauh hampir dua kilometer dari pesisir pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan bersama kapal layar katamaran selama tiga jam terasa sungguh eksklusif.
Hanya ditemani kapten kapal yang mengemudi haluan, pasangan yang meraikan saat romantis tentunya akan menghargai momen tersebut. Biarpun detik itu sungguh istimewa, tiga jam bukan satu tempoh yang panjang. Tidak sedar ia cepat berlalu!
Keindahan malam tidak berakhir di situ. Saat kapal itu mendekati marina, pasangan yang bercinta akan disambut pantulan cahaya neon jingga di atas riak air. Cahaya yang datangnya dari bangunan hotel itu sebenarnya menjanjikan sesuatu yang lain.
"Saat-saat romantis tersebut bagaikan terasa sekejap. Namun mood cinta yang dibawa pulang dari pelayaran yang mengasyikkan sebentar tadi perlu diteruskan. Makan malam indah bersama pasangan mengambil tempat di lokasi tersebut," ujar Pengurus Jualan Admiral Marina Berhad, Mohamad Rhuad A. Rahim.
Dengan disaksikan cahaya lilin, suasana romantis pasti terbangkit kerana disediakan ruang khas eksklusif bagi pasangan yang berbulan madu meraikan makan malam bersama tanpa gangguan sesiapa.
"Semua aktiviti itu dapat dialami bersama sekiranya pasangan memilih untuk berbulan madu mahupun bercuti di Hotel Avillion Admiral Cove (HAAC) di Port Dickson, Negeri Sembilan.
"Ini adalah satu-satunya hotel di Port Dickson yang mempunyai marina sendiri yang bertaraf antarabangsa yang dikenali sebagai Admiral Marina & Leisure Club (AMLC)," terang Mohamad Rhuad.
Rai pengantin baru
Mengabadikan momen-momen indah di atas kapal layar dengan persalinan pengantin baru juga pastinya membuatkan pasangan lain cemburu saat melihat foto-foto bahagia anda.
Pilih sahaja sama ada ingin melakukan sesi fotografi di atas kapal atau pun di sekitar pelantar dengan berlatarbelakangkan kapal-kapal yang bersidang di marina itu.
Tidak perlu untuk berkunjung ke Cape Town, Afrika Selatan mahupun Monaco bagi mendapatkan latar belakang indah seperti itu kerana dengan perjalanan sejauh hanya 110 km dari Kuala Lumpur, anda boleh merakamkan 1,001 sudut panorama spektakular.
Menurut Mohamad Rhuad, situasi sebegitu pasti menjadi saat bahagia untuk pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan mahupun kepada pasangan yang ingin mengabadikan kenangan terindah bersama di situ.
"HAAC adalah suatu gabungan unik antara sebuah hotel bertaraf antarabangsa dengan rumah kelab marina. Hanya terdapat tiga resort di Malaysia yang mempunyai keunikan seperti itu termasuklah di Langkawi dan Kota Kinabalu," ulasnya.
Menurut Pengarah Jualan Avillion Admiral Cove, Fazrizah Noor, pasangan yang ingin meraikan tempoh bulan madu di hotel itu boleh memilih pakej Romantik Interlude dengan tawaran harga RM855++ iaitu untuk menginap di Straits Studio dan Executive Studio (RM915++).
"Pakej ini menawarkan tempoh penginapan selama dua malam di HAAC dengan pelbagai aktiviti lain termasuklah makan malam dengan cahaya lilin, pemberian sebotol jus sparkling dan sekotak coklat.
"Apa yang lebih menarik dan tidak ditawarkan di pusat peranginan lain di Port Dickson adalah pelayaran bersama Avillion Cruises selama tiga jam untuk dua orang dengan menaiki kapal layar bernama Catiana.
"HAAC turut dijadikan pilihan pasangan pengantin pelbagai bangsa untuk mengadakan majlis persandingan dan perkahwinan mereka di sini.
"Sehingga kini, majlis yang paling meriah adalah majlis perkahwinan satu pasangan pengantin berbangsa Cina yang menjadikan kapal mewah (super yacht) yang berlabuh di marina kami sebagai lokasi acara pernikahan dan juga acara tradisi iaitu upacara minum teh.
"Suasana yang menarik dapat disaksikan apabila pengantin itu mempersembahkan teh kepada kedua-dua ibu bapa mereka sebagai tanda mendapatkan restu sambil belayar di AMLC," katanya.
Pasangan pengantin yang ingin mengabadikan hari bahagia dalam suasana penuh kelainan boleh menyewa sebuah kapal mewah pada kadar tawaran harga bermula dari RM8,500 untuk tempoh tiga jam pelayaran.
Pasti ia akan menjadi kenangan terindah pasangan pengantin baru apatah lagi meraikan hari bahagia bersama ahli keluarga dan sanak saudara di lokasi perkahwinan yang mewah.
Pengalaman sebagai anak kapal
Saat indah berlayar di lautan itu bukan sahaja hanya boleh dirasai pasangan yang hangat bercinta, tetapi tetamu yang mengambil pakej biasa saat menginap di Hotel Avillion Admiral Cove.
"Dari segi kos, merancang percutian bulan madu anda sambil berlayar menyaksikan lautan luas memang berbaloi jika memilih HAAC. Ia lebih efektif kerana ia berdekatan dengan Kuala Lumpur dan tidak mengambil masa untuk sampai.
Berkedudukan di latitud 144 02º 28' 75 dan longitud 101º 50' 40, HAAC adalah satu-satunya marina bertaraf antarabangsa berdekatan Lembah Kelang dan Melaka yang menawarkan pakej untuk pasangan meraikan saat bahagia.
Anda hanya perlu membuat bayaran tambahan sebanyak RM100++ seorang untuk turut menjadi tetamu di atas kapal layar Catiana.
Kanak-kanak berumur di antara empat hingga 12 tahun pula hanya dikenakan sebanyak RM50++ bagi pelayaran tersebut.
Terdapat dua waktu yang boleh dipilih untuk berlayar dalam tempoh tiga jam bersama Catiana sama ada pada pukul 10 pagi hingga 1 petang atau 5 petang hingga 8 malam.
Uniknya pelayaran bersama Avillion Cruise adalah kerana peserta yang menjadi anak kapal kepada Kapten Rudy akan dibenarkan merasai pengalaman untuk mengemudi, menaikkan layar dan menarik tali kapal sepanjang pelayaran.
Ia pastinya menjadi sebuah pengalaman yang mengujakan kepada sesiapa sahaja yang merasainya.
Your Site Is Very Good and The Post is Well On Topic, Thanks for Sharing it with us.
ReplyDeleteEnvy Quotes
Commitment Quotes
inspirational love quotes
valentines Images
propose day messages
happy rose day 2017
chocolate day 2017
hug day 2017
happy kiss day
promise day messages